26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

MQA selesaikan isu akreditasi program di Turkiye

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) berjaya menyelesaikan isu akreditasi program pengajian pelajar Malaysia di Turkiye selepas mengadakan pertemuan dengan badan akreditasi negara itu, Majlis Pengajian Tinggi Turkiye (YOK).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam pertemuan itu MQA dan YOK bersetuju untuk mengiktiraf program yang ditawarkan oleh universiti dalam senarai pemantauan dan seliaan kedua-dua negara.

Beliau berkata, berdasarkan Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara, MQA tiada masalah menerima akreditasi dari luar negara, namun tidak termasuk program profesional.

“Selepas ini diharap tiada lagi masalah timbul berkaitan akreditasi program dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Tukiye.

“Sebelum ini, kerajaan menerusi MQA telah mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti di Turkiye dan perkara itu disambut baik Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, YOK diwakili oleh Naib Presidennya, Prof. Dr. Haldun Göktaş dan Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa YOK, Mustafa Efe.

Advertisements

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Naib Presiden Islamic Quality Assurance (IQA), Prof. Olgun Cicek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye dan turut bertemu Presiden Erdogan.

Mohammad Shatar berkata, kunjungan beliau ke Turkiye itu bagi memperincikan perkara tersebut, selaras dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang mahu segala permasalahan akreditasi program pelajar Malaysia di Turkiye dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata, MQA melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam daftar eSisraf yang diselenggara oleh MQA.

Katanya, YOK turut turut mengalu-alukan permohonan pelajar Malaysia untuk menyambung pengajian di negara itu kerana mereka menyediakan biasiswa.

Katanya, permohonan boleh dibuat di kedutaan Turkiye di Malaysia di Kuala Lumpur. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan