Tuesday, June 16, 2026

Kes harian 9,117 hari ini, melonjak secara mendadak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JUMLAH kes harian positif COVID-19 negara hari ini melonjak secara mendadak iaitu sebanyak 9,117 kes sekali gus merekodkan jumlah tertinggi tahun ini.

Semalam, sebanyak 7,234 kes harian dicatatkan dengan sebahagian besar disumbang oleh kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini kini sebanyak 2,904,131 kes.

Menurut beliau, jumlah kes harian itu mengatasi 6,546 kes sembuh yang dicatatkan hari ini.

“Sebanyak 47 kes bersamaan 0.5 peratus daripada 9,117 kes positif COVID -19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Bakinya, sebanyak 9,070 kes bersamaan 99.5 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan peningkatan iaitu 67 kes berbanding semalam, 57 kes.

“Pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) turut merekodkan peningkatan, 123 kes berbanding semalam, 118 kes,” katanya.

Menurutnya lagi, negara turut mencatatkan peningkatan kluster aktif COVID -19 dengan jumlah terkini sebanyak 353 kluster berbanding semalam, 346 kluster.

“Bagi kluster COVID-19 pula merekodkan penurunan kepada 10 kluster berbanding semalam, 21 kluster.

“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,488 kluster. Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,135 kluster berbanding semalam, 6,132 kluster,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan sebanyak 11 kes berbanding semalam, lapan kes.

Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 32,011 kes.

Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak empat daripada 11 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,453 kes.-Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan