32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

BN ada hak berusaha untuk bangkit daripada kekalahan

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) sebagai sebuah parti politik yang sah mempunyai hak demokrasi untuk berusaha bangkit daripada kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan mereka sedang melakukannya dengan penuh kecekalan dan bersungguh-sungguh.

Justeru Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada sebab untuk parti itu akur kepada desakan pihak-pihak tertentu agar berhenti daripada mara dan menyerah kepada kemahuan mereka.

Menurutnya, walaupun mereka yang mendesak itu berselindung di sebalik karakter perpaduan, tetapi kesumat sebenar telah pun disahkan mahu menamatkan UMNO.

“Seperti saya sering katakan BN tidak perlu menghina dan memfitnah lawan politik. Kita berhujah atas kebenaran dan biarkan masyarakat menilai.

“BN sebagai ketumbukan politik berorientasikan kepentingan rakyat dan negara tidak perlu bersikap melampau kerana BN sejak penubuhannya bukan parti pelampau,” katanya hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang mendakwa BN sudah tidak lagi menjadi sebuah parti politik yang relevan sejak tewas dalam PRU-14 pada 2018 lalu.

Zahid berkata, adalah tidak benar membanding BN umpama itik yang patah kaki kerana meskipun parti itu tewas dalam PRU lalu tetapi tewas mereka bukan selama-lamanya.

Advertisements

“Bagaimana BN yang menang banyak pilihan raya kecil dan baru sahaja mengungguli Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu boleh dianggap tidak lagi relevan?

“Relevan sesebuah parti politik dalam sesebuah negara demokrasi adalah berlandaskan keyakinan dan sokongan semasa yang diterjemahkan oleh rakyat,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, dalam memperhalusi tohmahan terhadap BN, wajar untuk diteliti parti mana yang sebenarnya telah dan sedang hilang keyakinan majoriti rakyat Malaysia.

“Sudah lebih tiga tahun sejak 9 Mei 2018 berlalu dan BN telah pun move on sejak itu menuju ke destinasi kebangkitan selangkah demi selangkah.

“Segala cacian, penghinaan, sekatan dan tekanan untuk menghalang kemaraan BN oleh mereka yang cemas tidak pernah jadi kudis yang melemahkan,” katanya.

Lagipun, kata Zahid, BN percaya pola pemikiran politik rakyat Malaysia pastinya semakin matang selepas apa yang mereka saksikan dengan mata sendiri natijah sesudah PRU-14.

“Jika mahu juga itik dijadikan perumpamaan, maka BN ibarat itik bertelur emas yang memayungi rakyat dengan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan