29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pas beri amaran kepada UMNO jangan adakan PRN lagi

Mesti Baca

PAS hari ini memberi amaran terutama kepada kerajaan-kerajaan negeri dikuasai UMNO agar tidak lagi mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dengan sewenang-wenangnya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika UMNO masih terus mahu mengadakan PRN selepas ini, Pas akan gunakan strateginya sendiri.

Dengan nada tegas beliau berkata, parti itu juga mempunyai kekuatan sendiri termasuk mempunyai keahlian lebih 1 juta dengan 800,000 daripadanya merupakan ahli-ahli yang aktif.

“Jangan buatlah pilihan raya negeri-negeri ini. Kalau buat lagi kita ada strategi kita. Pas ada kekuatan sendiri. Kita ada 197 kawasan seluruh negara, daripada 222 kawasan (Parlimen), hanya 25 kawasan sahaja tak ada Pas.

“Kita tahu strategi (UMNO) di Melaka, Johor sama, strategi guna undi teras UMNO. Peratus yang keluar undi hanya 60 peratus. Pengundi atas pagar, pengundi muda tak keluar habis.

“Undi UMNO cuma naik 1 peratus saja (dalam PRN Melaka), tapi kita punya sampai 100 peratus pun ada,” katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas juga mempunyai negeri-negeri yang dikuasai oleh parti itu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi tidak akan melakukan strategi tidak bermoral seperti UMNO.

UMNO dan Pas membentuk Muafakat Nasional selepas PRU-14.

Katanya, matlamat utama Pas adalah untuk menyatukan umat dan dalam hal ini ia bukan hanya melibatkan Pas dan UMNO tetapi juga Bersatu serta kaum-kaum lain.

“Kita bukan nak ajar itik berenang, tapi kita selamatkan itik yang patah kaki. Bila kaki dah sembuh, dia nak berenang sendiri, nak tinggalkan kita,” katanya yang merujuk kepada UMNO selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu buat kali pertama selepas 60 tahun.

Abdul Hadi turut menyifatkan tindakan UMNO yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga memaksa PRN diadakan adalah strategi politik tidak baik yang digerakkan oleh segelintir pemimpin UMNO.

Katanya, Pas sedar ada golongan tertentu seperti kluster mahkamah, kluster kalah PRU-14 dan kluster pemimpin tiada jawatan dalam parti sedang melaksanakan strategi tidak sihat tersebut demi kepentingan sendiri.

“Bukan semua UMNO, sebahagian UMNO iaitu kluster saya sebutkan ini yang memainkan politik tidak sihat. Selepas Johor, negeri mana pula mahu buat PRN, Perak? Lepas Perak di mana pula, lepas satu satu negeri. Ini meletihkan rakyat, jadi kita kena faham.

“Kluster mahkamah kita tidak anggap bersalah kerana orang yang dituduh belum tentu salah. Jadi kalau kita ada moral dan kita betul, lawan di mahkamah jangan susahkan rakyat dengan pilihan raya negeri demi mahu selamatkan diri.

“Kluster yang kalah dalam pilihan raya pula tunggulah pilihan raya umum (diadakan), kena sabarlah,” katanya.

Untuk rekod, dalam PRN Melaka pada Oktober tahun lalu, Pas yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan lapan kerusi tetapi gagal meraih sebarang kemenangan.

Dalam PRN Sabah, iaitu PRN pertama selepas PRU-14, Pas tidak meletakkan sebarang calon, manakala dalam PRN Sarawak Disember lalu, Pas hanya bertanding di satu kerusi tetapi tewas.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN pada 22 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan