PERATUSAN populasi keseluruhan dewasa di Malaysia tiada vaksinasi masih kekal sejak 2 November lalu dengan 21.9 peratus direkodkan, berdasarkan data yang dikeluarkan menerusi laman web COVIDNOW setakat semalam.
Menerusi data tersebut juga, sekurang-kurangnya 78.1 peratus atau 2,864 suntikan dos pertama telah diberikan sementara 75.4 peratus atau 18,162 telah lengkap vaksinasi.
Ini sekaligus menjadikan 24,625,458 atau 75.4 peratus populasi keseluruhan di negara ini lengkap vaksinasi, setakat semalam.
Sementara itu, sebanyak 20,365 dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan kepada kumpulan sasar, semalam, menjadikan jumlah kumulatifnya kini mencecah 492,054 dos.
Dalam pada itu, data tersebut juga menjelaskan sebanyak 41,489 suntikan vaksin diberikan, semalam, yang membawa kepada jumlah kumulatif 50,462,307 dos.
Berkaitan kes harian COVID-19 pula, kes aktif terus menunjukkan trend penurunan dengan sebanyak 216 kes dilaporkan.
Angka tersebut, menjadikan jumlah kumulatif kes aktif kini mencecah 66,944 kes.
Sejumlah 51,953 kes kuarantin di rumah dilaporkan, di samping 8,806 kes di PKRC.
Dalam pada itu, terdapat 5,630 kes di hospital, 275 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 280 di ICU dengan bantuan pernafasan.-Edisi 9