26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Benarkan syarikat penerbangan buat jadual ikut permintaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) mencadangkan setiap negeri agar membenarkan syarikat penerbangan membuat keputusan berhubung kekerapan jadual penerbangan berdasarkan kepada permintaan pengguna.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ini bagi memastikan syarikat penerbangan dapat memberikan tawaran harga terbaik untuk pelanggan mereka.

Menurut beliau, cabaran utama industri penerbangan pada masa ini adalah untuk mengurangkan kadar tambang penerbangan disebabkan kekurangan kekerapan penerbangan domestik ke beberapa destinasi di Malaysia.

“Justeru itu, ia perlu ditangani segera tambahan pula Sarawak telah pun meningkatkan kekerapan penerbangan dari 89 kepada 223 penerbangan seminggu mulai 1 November baru-baru ini, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diumumkan kelak,” katanya hari ini, lapor MalaysiaGazette.

Ka Siong berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo hari ini bagi membincangkan beberapa langkah penyelesaian demi memastikan kadar tambang penerbangan kekal tidak membebankan pengguna.

Beliau berkata, MOT tidak mahu terlalu membebankan orang ramai sebagai pengguna, khususnya kepada pengguna pengangkutan udara yang sering melakukan perjalanan ke Sabah dan Sarawak atas tuntutan kerja, menuntut pelajaran serta bertemu keluarga setelah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman akibat pandemik Covid-19.

Advertisements

“Namun, kita juga perlu mencari keseimbangan antara tawaran tambang terbaik untuk pengguna dan juga mengekalkan industri penerbangan yang kukuh dan mampan,”katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan campur tangan dalam menetapkan harga yang terlalu tinggi, tidak mustahil ia akan menyebabkan berlakunya ‘perang harga’ di mana syarikat penerbangan berlumba-lumba sesama mereka dalam suasana yang tidak sihat.

“Akhirnya, dalam jangka panjang, tiada siapa pun menjadi pemenang termasuk pengguna apabila syarikat penerbangan tidak mampu lagi mengekalkan operasi mereka,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, para pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati harga tambang murah.

“Sebaik-baiknya, belilah tiket dua minggu lebih awal atau lebih awal daripada itu sebelum berlepas ke destinasi yang ingin dituju,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Bahagian Udara MOT untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi mencari jalan terbaik menangani tekanan luar biasa susulan peningkatan kos rantaian bekalan termasuk perkhidmatan logistik dan bahan api.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Guru bersahsiah mulia asas pendidikan berkualiti

Oleh DZULFAIDHI HAKIMIE DZULRAIDI GURU sebagai agen utama sistem pendidikan memegang peranan yang penting dalam membentuk generasi akan datang. Namun, menjadi...

Lagi Artikel Berkaitan