CYBERJAYA – Masyarakat di negara ini dinasihat untuk membudayakan pendekatan musyawarah dalam mendepani permasalahan yang timbul berbanding membuat kecoh di alam maya.
Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata mutakhir ini banyak perselisihan faham dalam kalangan masyarakat dihebohkan di media sosial, seterusnya menjadi punca perbalahan.
Beliau berkata, apabila timbul permasalahan dalam masyarakat, kaedah terbaik untuk menyelesaikannya adalah menerusi rundingan atau mesyuarat tanpa perlu menyebarkan di media sosial.
Katanya, sebarang perselisihan membabitkan dua individu, kumpulan atau lebih, jika disebar di internet tidak akan membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Keadaan akan menjadi lebih keruh kerana apabila sesuatu permasalahan tersebar dan viral, ribuan persepsi akan timbul dalam kalangan masyarakat terutama yang tidak tahu akan asal usul isu berkenaan.
“Jadi, segeralah adakan rundingan kerana diyakini itulah cara terbaik dalam mencari jalan penyelesaian sesuatu permasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keadaan di negara ini apabila banyak perselisihan membabitkan masyarakat yang hanya disensasikan dalam laman sosial dan bukan diselesaikan menerusi pendekatan musyawarah.
Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, musyawarah yang bermaksud perundingan dengan pihak lain untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan boleh diaplikasikan di pelbagai peringkat masyarakat.
Katanya, semua golongan boleh memanfaatkan pendekatan ini, tanpa mengira sesuatu perselisihan itu membabitkan sesiapa pun, misalnya antara pelajar dengan guru, masyarakat dengan ketua kampung atau rakyat dengan pemimpin.
“Jangan cepat melatah dengan menyebarkannya kerana maklumat ‘separuh masak’ tanpa bukti kukuh ini boleh mendatangkan fitnah, sebaliknya kita tabayyun (semak) apabila menerima seusuatu maklumat.
“Tanya diri sendiri apa tujuan untuk membuat sesuatu itu menjadi viral, walhal sekiranya menghadapi masalah kita perlu selesaikan dan yang terbaik melalui rundingan bukan memburukkan lagi keadaan,” katanya. – EDISI 9