31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

4 faktor mengapa perlu lanjut PdPR hingga hujung 2021

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan disarankan supaya melanjutkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga tamat sesi persekolahan 2021 hujung tahun ini.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, terdapat empat faktor mengapa langkah itu perlu dipertimbangkan demi kebaikan semua pihak khususnya ibu bapa dan murid-murid.

Menurut beliau, faktor pertama, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa anak-anak yang di bawah umur 18 tahun ke bawah tidak akan divaksinkan.

guru pendidikan
ANUAR AHMAD

“Sedangkan kita tahu kanak-kanak juga terdedah dan berisiko tinggi terhadap jangkitan varian baru COVID-19.

“Oleh itu, pembukaan sekolah tidak sepatutnya dilakukan atau diumumkan sehingga Kementerian Pendidikan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan berkesan bagaimana untuk uruskan kumpulan murid-murid yang yang kategori tidak menerima vaksin.

“Jumlah murid-murid terlibat keseluruhan hampir mencecah lima juta di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Anuar menambah, faktor kedua adalah berkaitan persoalan bagaimana Kementerian Pendidikan boleh memberi jaminan bahawa murid-murid yang akan ke sekolah tidak berisiko menjadi pembawa COVID-19 dalam keluarga mereka.

Advertisements

“Bolehkah tanpa jaminan keselamatan, sekolah -sekolah dibuka semula?” soalnya.

Faktor ketiga, kata beliau, amalan PdPR sepanjang 15 bulan lalu didapati telah diamalkan dengan pelbagai penambahbaikan oleh guru-guru.

“Prestasi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang terbaik dalam tempoh lima tahun lepas telah membuktikan tiada keperluan bagi Kementerian Pendidikan secara tergesa-gesa untuk membuka sekolah pada September 2021,” jelasnya.

Anuar berkata, faktor keempat adalah berkaitan perancangan Kementerian Pendikan sekiranya ada ibu bapa yang tidak bersedia membenarkan anak-anak mereka ke sekolah semula pada September ini kerana bimbang tentang keselamatan nyawa mereka.

Beliau bertanya sama ada PdPR akan diteruskan serentak semasa sesi persekolahan berjalan sekiranya senario itu berlaku.

“Adakah guru-guru perlu melakukan dua beban pengajaran iaitu di dalam kelas dan juga PdPR. Adakah adil pada murid-murid yang tidak hadir ke sekolah jika PdPR tidak lagi dilaksanakan selepas sekolah dibuka semula?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, Anuar berpandangan, Kementerian Pendidikan sepatutnya membuat keputusan untuk meneruskan PdPR sehingga hujung 2021 kerana langkah itu lebih praktikal, teratur dan sesuai. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

8000 pelari sertai Twincity Marathon 2024 

TWINCITY Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya. Twincity Marathon, sebuah acara...

Lagi Artikel Berkaitan