33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Khaled Meshaal dilantik Ketua Jabatan Diaspora Hamas

Mesti Baca

GAZA – Bekas Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal dipilih sebagai Ketua Jabatan Diaspora pergerakan pembebasan Palestin itu bagi penggal 2021-2025.

Dengan pelantikan itu, tokoh berusia 64 tahun itu menjadi pemimpin kedua tertinggi Hamas selepas Ismail Haniyeh yang menyandang jawatan Ketua Biro Politik.

Beliau merupakan Ketua Biro Politik Hamas sebelum mengundurkan diri dari jawatan tersebut pada 2017.

Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Ummah di Gaza, Dr Adnan Abu Amer berkata, pelantikan itu menandakan permulaan untuk meletakkan Khaled dalam kepimpinan Hamas semula.

Menurut beliau, rakyat Palestin mengingati tindakan Khaled meletak jawatan secara sukarela pada kemuncak kerjayanya di mana beliau mempunyai pengaruh dalam rangkaian hubungan setempat, wilayah dan antarabangsa.

“Selain itu, beliau menerima sokongan daripada anggota-anggota dan sekutu Hamas yang memintanya kekal menyandang jawatan yang ditinggalkannya pada Mei 2017,” katanya seperti dipetik daripada artikel yang disiarkan dalam MEMO.

Berhubung tanggungjawab baharu Khaled, Adnan berkata, cabaran luaran dan dalaman memerlukan kebijaksanaan yang tinggi, membuat keputusan secara kolektif dan keupayaan luar biasa untuk mengatasi ancaman yang menyelubungi Hamas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Advertisements

Beliau menambah, selepas berundur dari kepimpinan Hamas, Khaled tidak sekadar berehat di rumah dan menggunakan masa yang ada untuk keluarga dan urusan peribadi.

“Sebaliknya, beliau mengekalkan hubungan rapat dengan kumpulan yang membuat keputusan dengan Hamas.

“Hubungan akrab beliau dan Ismail yang menggantikannya mungkin merupakan salah satu faktor penting yang membantunya kekal rapat dengan pusat kuasa pergerakan itu,” jelasnya.

Pada masa yang sama, kata Adnan, Ismail turut menghargai peranan yang dimainkan oleh Khaled dan mereka berdua mempunyai sejarah perhubungan yang panjang.

“Mungkin ia bukan rahsia bahawa Khaled mahu Ismail mengetuai Biro Politik bagi penggal 2021-2025 ekoran prinsip bersama yang dikongsi mereka dan hubungan harmoni antara kedua-duanya dalam mengeruskan hal ehwal pergerakan itu pada penggal lalu,” ujarnya.

Beliau juga percaya pelantikan tersebut merupakan satu titik permulaan yang baharu dalam kerjaya kepemimpinan Khaled.

“Kita akan menyaksikan Khaled dan Hamas maju bersama, menyuarakan komitmen tegas terhadap struktur tersusun Hamas,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

8000 pelari sertai Twincity Marathon 2024 

TWINCITY Marathon 2024 telah mencatatkan jumlah peserta yang mengagumkan, dengan lebih daripada 8000 peserta daripada 24 negara menyertainya. Twincity Marathon, sebuah acara...

Lagi Artikel Berkaitan