Wednesday, June 17, 2026

Pelarasan perbelanjaan tidak jejas perkhidmatan rakyat – MOF

Semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) menegaskan panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.

Menurut kenyataan MOF, ini meliputi perbelanjaan teras untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang merupakan antara kementerian yang mempunyai peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini.

Kementerian itu berkata, panduan pelarasan perbelanjaan termasuk langkah seperti penangguhan penganjuran acara, menghadkan kunjungan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti, mengoptimakan rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.

“Selaras dengan pengurusan kewangan negara dengan bertanggungjawab, langkah pelarasan ini mengikut keutamaan penting untuk mewujudkan ruang fiskal bagi membiayai bantuan dan subsidi bersasar untuk melindungi golongan dan sektor rentan yang terkesan daripada Krisis Bekalan Global ini,” kata kenyataan itu hari ini.

MOF berkata, pihaknya akan terus berusaha secara proaktif dan sistematik untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan yang optima bagi memperkukuh daya tahan negara dalam berhadapan Krisis Bekalan Global yang dijangka memberi impak mendalam dan berpanjangan kepada ekonomi negara.

Katanya, MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa yang sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh.

Semalam, MOF berkata, pihaknya mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.

Menurut laporan media, pengurangan itu membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak MOF memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.

Cadangan pengurangan ini dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan