Sunday, June 14, 2026

Status Pulau Sebatik tidak berubah, laporan media tidak tepat

Penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang menetapkan jajaran sempadan di sepanjang latitud 4º 10’ Utara.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan laporan media bahawa 127.3 hektar Pulau Sebatik kini menjadi milik Indonesia adalah tidak tepat serta tidak selaras dengan rekod rasmi yang dipersetujui bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan kepada Boundary Convention 1891 yang menetapkan jajaran sempadan di sepanjang latitud 4º 10’ Utara.

Menurut beliau, semakan teknikal bersama Malaysia dan Indonesia pada 1983 mendapati terdapat perbezaan antara jajaran di lapangan dengan perjanjian asal, sekali gus mencetuskan rundingan panjang selama lebih tiga dekad.

“Setelah berunding selama 35 tahun, akhirnya satu resolusi dapat disepakati bersama dan diluluskan pada Oktober 2018 bagi penyelesaian persempadanan di Pulau Sebatik untuk mematuhi prinsip konvensyen asal yang termeterai sejak 135 tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita Indonesia yang mendakwa 127.3 hektar Pulau Sebatik kini menjadi milik negara itu. 

Arthur menjelaskan, kerja pengukuran semula yang dilaksanakan secara bersama pada 2019 menggunakan teknologi moden telah menghasilkan penjajaran sempadan yang lebih tepat dan dipersetujui kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, penyelesaian tersebut turut melibatkan kawasan di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, yang menyaksikan Malaysia memperoleh pertambahan wilayah seluas 780 hektar.

“Hasil dari penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik pula, Malaysia memperoleh perluasan wilayah seluas 5 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia, kini berada dalam wilayah Malaysia.

“Manakala kawasan seluas 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini berada dalam wilayah Indonesia,” katanya.

Jelas beliau, pemuktamadan jajaran sempadan itu telah dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara pada 18 Februari 2025, sekali gus menandakan kejayaan rundingan teknikal dan diplomatik yang berlangsung lebih 45 tahun.

Tambah beliau, keseluruhan proses tersebut dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama tanpa melibatkan sebarang prinsip pampasan atau pertimbangan untung rugi, sebaliknya berpaksikan undang-undang antarabangsa.

Arthur turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan bagi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.

“Pemuktamadan jajaran sempadan darat di Pulau Sebatik ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan keselamatan, perancangan pembangunan serta pengurusan tanah dan sumber dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak media agar mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyiarkan laporan berkaitan isu sempadan negara bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan