
KALAU tanya aku pasal kemelut tujuh pemain warisan skuad kebangsaan, aku masih bersangka baik dan yakin bahawa FAM telah melakukan perkara yang betul.
Tak akan mungkin sebuah orginisasi seperti FAM sanggup menipu FIFA. Tidak tak akan mungkin. Pasti ada sesuatu yang tidak kena sehingga FIFA salah faham dan mengambil tindakan.
Niat FAM adalah suci, untuk membawa skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi setelah sekian lama berada di takuk lama biarpun pelbagai usaha dilakukan sebelum ini.
Aku percaya mastermind revolusi skuad kebangsaan pun berniat baik dan tidak ada niat untuk menipu.
Dan aku selama ini pun sentiasa bersangka baik biarpun sedikit ragu-ragu apabila muncul pemain warisan dari bumi Latin yang asal usul mereka dari Sepanyol, suatu bangsa yang tidak pernah menjajah bumi Tanah Melayu.
Mungkin ada keturunan dari bumi Malaya ini yang telah berhijrah ke Amerika Latin, melahirkan anak cucu berdarah Malaysia dan kemudian hebat dalam bola sepak biarpun nama-nama mereka begitu asing dan aneh.
Namun demi bola sepak negara, segala kecurigaan aku tolak ke tepi apatah lagi menyaksikan peningkatan mendadak skuad Harimau Malaya sejak revolusinya bermula. Siapa yang tak seronok!
Pastinya formula ini menampakkan kejayaan yang kemudian menjadi kecemburuan orang lain, negara-negara jiran atau siapa sahaja yang tidak senang dengan perubahan drastik prestasi Harimau Malaya.
Maka kita juga percaya ada gerakan untuk sabotaj revolusi skuad kebangsaan dan mencari siapa punya angkara.
Benar FIFA telah mendedahkan tanah kelahiran datuk nenek tujuh pemain terbabit namun aku juga percaya bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai dokumen yang lengkap dan mencukupi untuk memberikan kerakyatan kepada para pemain terbabit.
Masakan KDN dan JPN begitu mudah memberi kerakyatan negara yang begitu mahal nilainya kepada individu yang tidak jelas susur-galurnya ketika ribuan “anak jati” yang masih menunggu permohonan mereka diluluskan.
Tidak mungkin kerana KDN dan JPN telah mempersiapkan persyaratan yang ketat dalam memproses permohonan, tak kira dari mana sumber pemohonnya.
Takkan para pegawai atau waima menteri berkaitan mahu menggadai integriti semata-mata bola sepak, tidak… tak mungkin. Aku yakin dan percaya tiada unsur salah laku di peringkat JPN atau KDN sekali pun. Semua proses dibuat secara telus dan mulus.
Justeru, sebagai penggemar bola sepak, sebaiknya kita serahkan kepada FAM untuk menyelesaikan kemelut ini. Kita yakin dan percaya FAM mempunyai cukup bukti untuk mempertahankan diri dan menafikan hukuman yang dikenakan melalui lunas undang-undang.
FAM bukan koman-koman. Mereka ada pemimpin yang begitu hebat dan berkuasa. Takkanlah dengan FIFA pun mereka tak daya untuk menghadapinya.
Percayalah nanti, kesemua tujuh pemain itu akan kekal sebagi pemain warisan negara dan jika FAM berjaya, kita boleh menarik lebih ramai pemain warisan kita dari Amerika Latin dan selatan Eropah. Tunggu dan lihat sahajalah nanti!
MTB - Main bola cetong

