HUJAN turun! Ia selepas Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Perak yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), hujan lebat telah turun dalam tempoh 45 minit selepas semburan dilakukan.
“Ini bukan sahaja hasil daripada tindakan saintifik yang teliti, malah bukti doa serta keizinan Allah SWT dalam usaha kita menurunkan hujan sebagai rahmat buat seluruh rakyat yang terkesan,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana menaiki pesawat TUDM jenis Charlie C-130 bagi melihat proses penyemburan garam ke dalam awan kumulus di ruang udara yang kritikal.
Turut serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategi dan Teknikal) MET Malaysia, Mohd Zunaidi Mat.

Zahid berkata, sehingga 31 Julai lalu, paras empangan Bukit Merah telah jatuh ke tahap sangat membimbangkan iaitu pada 12.21 peratus atau 19.8 kaki kedalaman air.
Katanya, perkara itu telah memberi kesan besar kepada domestik dan sektor sawah padi dan beliau sendiri akan memantau situasi tersebut.
“Kerajaan kekal komited mengambil langkah proaktif dalam menghadapi krisis iklim dan cuaca ekstrem demi melindungi nyawa, hasil tani dan sumber air negara kita.
“Semoga segala usaha kita dipemudahkan oleh Allah SWT jua. Aamiin,” katanya. — Edisi 9

