Sunday, June 14, 2026

Hampir 4,000 unit komunikasi tidak diperakui disita

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat sebuah syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui secara dalam talian.

Tindakan ini merupakan hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pelaksanaan operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.

Menurut MCMC, sebanyak 3,837 unit peralatan komunikasi pelbagai jenis dianggarkan bernilai  RM500,000 disita oleh pihak PDRM dan diserahkan kepada MCMC untuk tujuan analisis teknikal dan penelitian lanjut.

Katanya, barangan tersebut merangkumi konsol permainan tanpa wayar, alat kawalan jauh tanpa wayar, peranti pintar, tablet, serta pelbagai lagi peranti komunikasi yang dipercayai dipasarkan tanpa perakuan teknikal sah daripada MCMC.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, pihaknya komited untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui, demi menjamin keselamatan pengguna serta memelihara integriti pasaran dari aspek pematuhan teknikal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau pengedaran peranti komunikasi tidak diperakui digesa untuk menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi MCMC atau melaporkannya kepada pihak PDRM. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan