HARIMAU Malaya kini menambah ‘bisa’ di benteng pertahanan selepas kehadiran pemain warisan baharu mereka, Facundo Garcés, yang sah menyarung jersi skuad kebangsaan.
Terlepas daripada sorotan media, pemain kelahiran Argentina berusia 25 tahun itu diumumkan secara rasmi sebagai sebahagian daripada skuad Peter Clamovski menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam minggu depan.
Tonggak Deportivo Alavés dalam saingan La Liga, Sepanyol itu dilihat mampu menjadi aset penting buat Malaysia dengan pengalaman dan gaya permainan matang di posisi bek tengah.
“Facundo ada kualiti dan perwatakan seorang pemimpin. Dia tenang di padang, punya personaliti yang kuat, dan sangat bangga dapat mewakili Malaysia,” kata Clamovski dalam kenyataan hari ini.
Garcés yang sudah melengkapkan segala proses dokumentasi dan kelayakan turut meluahkan rasa teruja menyarung jersi kebangsaan.
“Saya sangat bangga dapat mewakili Malaysia. Sambutan yang saya terima sejak tiba di sini sangat luar biasa. Saya tak sabar untuk beraksi dan memberikan segalanya untuk negara ini,” katanya seperti dilapor Facebook rasmi skuad Harimau Malaya, Harimau NT.
Garcés kini menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya sempena jendela FIFA dan dijangka tersenarai dalam skuad utama untuk aksi penting menentang Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulam F Kelayakan Piala Asia, 10 Jun ini.
Dalam sidang media sebelum ini, Clamovski menutup mulut berhubung dakwaan beberapa pemain warisan yang beraksi di luar negara dalam perjalanan untuk menyertai kem latihan di Kuala Lumpur.
Jefte Betancor, Jon Irazabal dan Rodrigo Holgado dilapor dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
Esok Malaysia akan bertemu skuad kebangsaan Cape Verde dalam perlawanan latihan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bandaraya Kuala Lumpur, 29 Mei lalu. – Edisi 9

