Wednesday, July 22, 2026

Lagi 279 warga asing dihalang masuk negara, rekod tertinggi

Mesti Baca

LAGI ratusan warganegara asing dihalang memasuki negara dan dihantar pulang serta-merta.

Kali ini melibatkan seramai 279 orang membabitkan warganegara dari Bangladesh, Pakistan dan India setelah didapati tidak mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, jumlah itu merupakan rekod harian tertinggi bagi kes Not-To-Land (NTL) sejak penubuhan Pasukan Pemantau KLIA pada tahun 2023.

Katanya, trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah ini dilihat semakin meningkat khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia.

“Keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi sering dimanipulasi oleh segelintir individu untuk menyelinap masuk dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan.

“Langkah pengusiran ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekaligus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat sahaja dibenarkan memasuki negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.

AKPS berkata, semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta, selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawainya.

Sejak ditubuhkan, Pasukan Pemantau AKPS KLIA telah memberi impak positif dalam mempertingkat keberkesanan saringan awal serta pengesanan pelawat berisiko.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan komitmen AKPS dalam melaksanakan pemantauan secara tegas dan konsisten, demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan