RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis santapan petang bersama penggiat seni dan karyawan negara di Istana Negara, hari ini.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, majlis yang berlangsung di Dewan Santapan Utama Istana Negara itu melibatkan kehadiran seramai 400 tetamu jemputan termasuk para pelajar sekolah.
“Majlis santapan petang itu adalah cetusan idea Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri untuk mengetengahkan bakat serta mewujudkan interaksi positif antara penggiat seni tanah air dengan pelajar-pelajar sekolah,” kata Facebook Yang di-Pertuan Agong itu.
Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 150 pelajar asnaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Seri Paduka Baginda turut mengurniakan pakaian busana hari raya untuk para pelajar berkenaan, termasuk dari kaum Cina dan India yang seronok dan bersemangat mengenakan baju raya sempena majlis hari ini.
Para tetamu yang hadir turut dipersembahkan dengan nyanyian istimewa daripada artis popular tanah air iaitu Anuar Zain yang mendendangkan lagu Sedetik Lebih dan Datuk M Nasir dengan lagu Satu Hari di Hari Raya.
Majlis santapan petang bersama penggiat seni dan karyawan negara turut menampilkan dua pengacara terkenal iaitu Zizan Razak dan Sherry Al Hadad.
Para tetamu turut dipersembahkan dengan persembahan istimewa daripada para pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur diiringi kombo Simfoni Kayangan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antara persembahan para pelajar sekolah tersebut adalah tarian satu Malaysia, keroncong, violin solo, deklamasi sajak, seni visual dan tarian zapin serta gendang masyarakat Cina.
Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra bersama tetamu yang hadir. – Edisi 9

