SEORANG pempengaruh media sosial disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kerana menyebarkan maklumat palsu mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan tidak berasas.
MCMC berkata, lelaki terbabit juga cuba mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
Suruhanjaya itu berkata, tindakan lelaki terbabit berpotensi mencetuskan kegusaran awam dan menyemarakkan fitnah.
Selain itu, katanya, ia juga mengundang ancaman terhadap keselamatan individu terlibat serta melanggar undang-undang komunikasi dan perlindungan data peribadi.
“MCMC mengesahkan bahawa siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial telah dijalankan berikutan aduan yang diterima daripada orang awam mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi & Multimedia (AKM 1998),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertindak atas aduan rasmi yang diterima, MCMC berkata, dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada 25 April lalu dan hari ini.
Tegas MCMC, semua aduan akan disiasat berlandaskan undang-undang tanpa mengira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998, dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” katanya.
MCMC mengingatkan orang ramai bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), bersifat mengancam, mengganggu, atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada. – Edisi 9

