Thursday, June 4, 2026

Tunai janji PRK, Zahid umum pelbagai inisiatif di Nenggiri

Ia sebagai hadiah kepada rakyat Nenggiri yang memilih wakil kerajaan, Azmawi Fikri sebagai ADUN kawasan itu dalam PRK tahun lalu.

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) menunaikan janjinya untuk membawa pembangunan di Nenggiri, Gua Musang dengan mengumumkan pelbagai inisiatif hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai hadiah kepada rakyat Nenggiri yang memilih wakil kerajaan, Azmawi Fikri sebagai ADUN kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tahun lalu.

Antara inisiatif pembangunan yang diumumkan Zahid termasuk peruntukan RM1.5 juta untuk baik pulih Masjid Al Muttaqin di Kampung Jerek Baru.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk pembinaan sebuah jambatan baharu serta pembinaan 10 gerai MARA dan 20 unit kedai melalui KESEDAR akan memperkukuh aktiviti ekonomi tempatan.

“Alhamdulilah hari ini saya kembali ke Nenggiri. Kepulangan saya ke Gua Musang kali ini bukan sekadar kunjungan Aidilfitri, tetapi lambang amanah yang dipikul dan khabar gembira yang dibawa.

“Saya turut berbangga dengan kesungguhan ‘Budok Awi’ yang telah menunjukkan kepimpinan luar biasa dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat di sini,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata, menyedari pentingnya pendidikan sebagai asas pembangunan, beliau turut mengarahkan Pengerusi MARA untuk menghidupkan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Gua Musang yang telah ditutup sejak 2019.

“Institusi ini akan diberi nafas baharu supaya dapat kembali menjadi medan menimba ilmu dan membangunkan modal insan di kawasan ini,”katanya.

Dalam kesempatan yang sama, Zahid turut menyaksikan Majlis Menandatangani Borang 14A RKT KESEDAR, lambang kesinambungan dan iltizam kerajaan dalam memajukan tanah-tanah rancangan demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk peneroka serta keluarga mereka.

Katanya, ini adalah bukti nyata bahawa janji yang diungkap bukan untuk meraih sokongan sesaat, tetapi untuk ditepati demi kesejahteraan rakyat berpanjangan.

“Inilah tekad Kerajaan MADANI – memimpin dengan hati, membangun penuh makna,”katanya. – Edisi 9
Awi, teruskan langkah kamu. Teruslah membawa Nenggiri dan seluruh masyarakat Gua Musang menuju sebuah masa depan yang lebih cerah, lebih sejahtera, dan lebih makmur. Insya-Allah.

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan