
ISU ketirisan hasil yang dikaitkan dengan penjualan kepada pihak luar telah lama menjadi cabaran besar kepada warga FELDA.
Ia bukan sahaja memberi kesan kepada hasil keseluruhan peneroka bahkan turut melibatkan kerugian besar kepada FELDA yang boleh mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.
Sehubungan itu, usaha FELDA menangani masalah tersebut secara berstruktur melalui Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Lestari adalah satu langkah ke hadapan yang wajar diberi sokongan.
Aktivis generasi baharu FELDA, Ridhuan Esa berkata, langkah yang diambil FELDA sebagai satu ikhtiar penting dalam usaha menoktahkan isu ketirisan hasil yang telah lama membelenggu peneroka.
Beliau yang berasal dari Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, Johor menyifatkan inisiatif PMS Lestari itu sebagai peluang besar untuk memperkemaskan sistem pengumpulan hasil sawit.

Dengan adanya sistem tersebut, beliau yakin ia mengurangkan kebergantungan peneroka kepada pihak ketiga, sekali gus memastikan pulangan yang lebih adil dan telus kepada semua pihak.
Katanya, kefahaman menyeluruh terhadap sebab-sebab peneroka memilih untuk menjual kepada pihak ketiga harus dijadikan asas kepada kejayaan PMS kelak.
“Antara faktor utama termasuklah keinginan peneroka untuk mengurus ladang sendiri, kekangan sistem pembayaran, dan ketelusan dalam urusan hasil,” katanya hari ini.
Beliau berkata, lebih 20,000 peneroka kini mengusahakan ladang mereka sendiri, suatu angka yang menunjukkan keperluan untuk PMS yang lebih fleksibel dan menyeluruh.
Dalam konteks itu, Ridhuan berharap PMS Lestari akan dibangunkan dengan pendekatan yang dapat menyelesaikan punca-punca sebenar yang menyebabkan ketirisan.
“Misalnya, isu kelewatan pembayaran hasil dan keperluan kepada sistem yang lebih cekap dan responsif terhadap keperluan peneroka. Selain itu, kejelasan dalam menentukan Kadar Perahan Gred (KPG) juga perlu diberi perhatian agar nilai sebenar hasil ladang dapat dinikmati sepenuhnya oleh peneroka.”
Beliau yakin bahawa dengan pelaksanaan PMS yang dirancang secara inklusif dan mengambil kira suara peneroka, FELDA mampu memperkukuhkan semula sistem pengurusan hasil yang lebih mapan dan lestari.

Langkah ini juga selari dengan matlamat FELDA untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan komuniti luar bandar dan memastikan masa depan generasi peneroka terus terjamin.
Ridhuan menegaskan bahawa beliau percaya kepada kemampuan FELDA untuk melakukan transformasi ini dengan jayanya, asalkan pendekatannya berpaksikan kepada penyelesaian menyeluruh yang benar-benar mengutamakan kebajikan peneroka.
PMS Lestari, menurut beliau, bukan sekadar satu pusat pengumpulan hasil, tetapi simbol kepada kesungguhan FELDA dalam membina semula kepercayaan dan memperkukuh ekosistem ekonomi komuniti peneroka secara menyeluruh. – Edisi 9

