Tuesday, June 16, 2026

JKM kesan waris 18 kanak-kanak penghuni Rainbow Home

Ia susulan notis penutupan sementara di bawah Seksyen 15, Akta Pusat Jagaan telah dikeluarkan terhadap rumah jagaan di kawasan Batu 9, Cheras, Selangor tersebut.

Mesti Baca

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris kepada 18 kanak-kanak yang diselamatkan dari Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi (Rainbow Home), Batu 9, Cheras, Selangor.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, ia susulan notis penutupan sementara di bawah Seksyen 15, Akta Pusat Jagaan telah dikeluarkan terhadap rumah jagaan tersebut.

KPWKM berkata, kesemua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan itu telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Kajang.

Mereka juga, katanya, telah dirujuk kepada Pegawai Psikologi/Kaunselor bagi tujuan penilaian awal tahap psikologi mereka.

“Suatu perintah interim di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 telah dimohon dalam Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) dan laporan sosial serta laporan pemeriksaan kesihatan kanak-kanak tersebut juga akan dibentangkan dalam MBKK.

“Sehingga kini, kanak-kanak tersebut telah ditempatkan di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak yang lain untuk sementara waktu,”katanya dalam kenyataan hari ini.

KPWKM berkata, waris kanak-kanak yang diselamatkan itu boleh berhubung terus dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat di talian 03-8739 5070 atau hadir ke PKMD Hulu Langat di Lot 2-58, Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, Kajang, Selangor.

“KPWKM dengan semangat Ihsan Kerajaan MADANI sentiasa prihatin dan akan memastikan kebajikan kanak-kanak ini terpelihara,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang.

Katanya, kedua-dua telah direman hari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata, penangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima satu laporan pada jam 10.08 malam 1 April lalu daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa didera dengan cara dimarahi serta ditampar pada pipi kiri oleh pemilik dan penjaga premis itu.

Susulan itu, Rainbow Home diarahkan ditutup manakala kesemua kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut diselamatkan.

Arahan penutupan dibuat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat susulan kes penderaan yang dipercayai berlaku di rumah kebajikan tersebut.

KPWKM berkata, seramai 18 kanak-kanak, terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mereka kemudiannya dibawa ke PKMD Hulu Langat untuk proses saringan awal. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan