BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib dilantik sebagai CEO baharu Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) berkuat kuasa hari ini.
Pernas berkata, Nor Azam yang terlibat lebih 26 tahun di sektor perbankan dan kewangan bersama MBSB dan memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pegawai Perniagaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif selain CEO sehingga Jun tahun lalu.
“Sepanjang perkhidmatannya di MBSB, beliau juga menerajui pelbagai inisiatif transformasi termasuk penstrukturan semula perbankan korporat dan runcit, pengenalan model cawangan baharu yang lebih mesra pelanggan, serta pelaksanaan projek digital seperti Virtual Branch, Digital Halal Hub dan Smart School Project.
“Selain itu, beliau juga berperanan penting dalam pengambilalihan Asian Finance Bank (AFB) dan transformasi MBSB menjadi bank komersial Islam sepenuhnya,”kata Pernas dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Azam juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Islam Malaysia Berhad, dengan tanggungjawab merangkumi strategi pembangunan perniagaan, pengurusan portfolio pelanggan korporat serta perancangan pertumbuhan sektor perbankan perniagaan.
Sebelum itu, beliau juga berkhidmat di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuk Citibank, OCBC Bank, Arab Malaysia Bank dan Hong Leong Bank.
“Pelantikan Nor Azam sebagai CEO baharu Pernas menandakan permulaan lembaran baharu bagi syarikat, di mana pengalaman luas serta kepakaran beliau diyakini mampu memperkukuh kedudukan Pernas dan melonjakkan pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Untuk rekod, Pernas merupakan sebuah syarikat dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Kementerian Kewangan) dengan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia dan membantu mengembangkan komuniti keusahawanan negara.
Pernas komited untuk memperkasakan pertumbuhan keusahawanan dan industri francais di Malaysia dari bimbingan hingga menghubungkan jalinan rangkaian, pembiayaan dan latihan.
Perbadanan itu menyasarkan untuk mengembangkan pengetahuan,mengukuhkan komuniti francais dan memupuk bakat francais generasi akan datang sekali gus dapat memacu perubahan positif merentasi landskap keusahawanan Malaysia. – Edisi 9

