
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin yang mengajar erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.
Anwar berkata, Perdana Menteri Kelima itu memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista.
“Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya menerusia media sosial beliau hari ini.
Abdullah yang juga mantan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan Pak Lah, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
Anwar berkata, masih segar dalam ingatannya tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.
“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam,” katanya.
Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Anwar berkata, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.
“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.
“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia,” katanya.
Dengan pendekatan Islam Hadhari, Perdana Menteri berkata, Abdullah menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai.
Di bawah kepemimpinan beliau, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.
“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam,” katanya.
Pentadbiran Abdullah berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu.
“Semoga ruh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” kata beliau. – Edisi 9

