
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Justeru beliau berkata, kembalinya Perdana Menteri Kelima itu ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan besar buat negara.
“Sumbangan serta jasa beliau dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti dan prinsip Islam Hadhari akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.
“Saya secara peribadi amat terkesan dengan pemergian beliau. Tun bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat saya hormati,” katanya menerusi media sosial malam ini.
Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, dalam perjalanan awal kariernya, Abdullah banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat yang tidak ternilai.
Katanya, bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkahnya hingga ke hari ini.
“Saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada Tun Jeanne Abdullah serta seluruh keluarga Allahyarham.
“Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau di dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.
Abdullah yang juga mantan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 petang ini. – Edisi 9

