INSTITUT Kanser Negara (IKN) yang diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan warisan cinta, dedikasi dan harapan beliau terhadap isterinya tersayang, Datin Seri Endon Mahmood.
Mengimbau terbinanya IKN, Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebooknya berkata, ia bermula apabila Abdullah atau mesra dipanggil Pak Lah kehilangan Endon akibat kanser payudara pada 2005.
Berikut catatan PHM yang ditujukan khas untuk Perdana Menteri Kelima itu yang meninggal dunia pada usia 85 tahun petang semalam:
Bermula dengan sebuah kehilangan yang menghiris hati, lahirnya satu institusi yang menjadi harapan untuk ribuan pesakit kanser di negara ini.
Pemergian Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada tahun 2005 membawa duka buat suaminya, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Dari kasih yang tak sempat disembuhkan, beliau bangkit meneruskan perjuangan agar orang lain tidak perlu merasai kepedihan yang sama.
Di bawah naungan beliau, tapak seluas 1,065 ekar di Presint 7, Putrajaya telah diperuntukkan khas untuk pembinaan Institut Kanser Negara (IKN).
IKN bukan sekadar bangunan perubatan. Ia adalah warisan cinta, dedikasi, dan harapan.
Cinta seorang suami kepada isteri, cinta seorang pemimpin kepada rakyat.
Di sinilah, ramai yang datang mencari peluang kedua dalam hidup.
Dari kehilangan yang perit, tertanam benih kasih sayang yang memberi nafas baharu kepada perjuangan menentang kanser. – Edisi 9

