TIADA apa yang dapat digambarkan oleh para jentera parti dan petugas media di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning melainkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ini kerana suruhanjaya itu pantas bertindak sehingga liputan dan capaian internet di kawasan tersebut sudah ‘meroket’, sekali gus memudahkan mereka menjalankan tugas masing-masing sepanjang PRK tersebut.
Ini kerana, sebelum ini capaian internet di kawasan berkenaan agak lemah sehingga mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengarahkan MCMC melakukan tindakan proaktif mengatasinya.
Sehubungan itu, MCMC telah mengarahkan kesemua penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) agar segera meningkatkan liputan mereka di kawasan Ayer Kuning, Tapah.
Ekoran arahan tersebut, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
“Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” kata MCMC Isnin lalu.
Antara kawasan keutamaan ialah Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
Salah seorang petugas media, Wan Zahari Wan Salleh berkata, capaian internet di kawasan tersebut sudah lancar dan tidak lagi menghadapi masalah ketika menjalankan tugas.
“Alhamdulillah, internet di sini baik-baik sahaja ketika saya membuat liputan, tidak ada sangkut-sangkut,” katanya pada penamaan calon PRK Air Kuning baru-baru ini
Sementara itu, jentera pilihan raya dari Pakatan Harapan (PH), Shahril Muhamada pula memberitahu, capaian internet di Ayer Kuning memuaskan kecuali di luar kawasan bandar
“Liputan internet OK sahaja di sini kecuali kawasan luar sikit adalah sangkut-sangkut,” katanya yang datang dari Kuala Lumpur.
Selain itu, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati masyarakat setempat.
Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 9 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC. – Edisi 9

