28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

‘Kehilangan’ Pak Lah terjawab, rupanya hidap demensia

Beliau umpama mempunyai kehadiran fizikal tetapi fikirannya tiada. Beliau tidak ingat nama saya, nama isteri saya - Khairy

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

‘KEHILANGAN’ Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri Kelima itu disahkan menghidap demensia atau penyakit nyanyuk.

Perkara itu disahkan oleh menantunya yang juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bapa mentuanya itu mula menunjukkan tanda kecacatan kognitif sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2009.

“Ramai yang bertanya mana Pak Lah? Beliau menghidap demensia. Saya beritahu penyakit dihidapi Pak Lah ini selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya kerana ramai tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas Khairy lagi, Pak Lah masih sihat namun lebih selesa berada di rumah bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Khairy Jamaluddin merasmikan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Kuala Lumpur.

“Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal tapi fikirannya tiada. Beliau tidak ingat nama saya, nama isteri saya. Satu-satunya sebab yang saya tahu dia masih ingat saya adalah melalui kerlipan matanya ketika saya melawatnya.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik akan datang,” katanya.

Abdullah, 82, menggalas tugas sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum meletak jawatan pada April 2009.

Dalam pada itu, sempena program berkenaan, Khairy menyatakan KKM akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mengkaji peningkatan penjagaan sosial di peringkat komuniti dapat dilakukan termasuk bagi penghidap demensia.

Menurutnya, ia termasuk mengkaji bagaimana peranan penjagaan komuniti dapat dipertingkatkan melalui peruntukan tambahan.

“Ia bagi membantu keluarga yang tidak mampu menggajikan jururawat untuk bersama ahli keluarga yang menghidap demensia.

“Kita tahu semakin ramai yang didiagnos dengan penyakit terutama demensia. Demensia ini adalah sesuatu yang menyebabkan kemerosotan kepada fungsi kognitif dan akhirnya mereka tidak boleh berfungsi seperti normal,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan