26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Helikopter swasta dikhuatiri hilang di hutan Bidor

uruterbang helikopter itu adalah seorang warga Hong Kong yang sedang dalam proses untuk menjual pesawat tersebut

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBUAH helikopter swasta dikhuatiri hilang di kawasan hutan di sekitar kawasan Bidor, Perak, tengah hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) kira-kira pukul 12.16 tengah hari.

Menurutnya, helikopter tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada pukul 11.37 pagi dan dijadualkan sampai di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipog pukul 12.37 tengah hari.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bidor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Kita akan lakukan apa juga usaha dalam mendapatkan helikopter yang dikatakan telah hilang hubungan dengan KLATCC,” katanya kepada pemberita ketika melawat Stesen Keretapi Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang juruterbang di dalam helikopter berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, pihak CAAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian tersebut.

Sementara itu, juruterbang helikopter tersebut adalah seorang warga Hong Kong yang sedang dalam proses untuk menjual pesawat itu, menurut sumber industri.

“Kami mengenalinya sebagai seorang juruterbang helikopter yang penuh bersemangat dan merancang untuk mencari kerja di Malaysia.

“Cukup misteri bagaimana helikopter itu turun mendadak sedangkan beliau seorang juruterbang yang cekap,” lapor FMT yang memetik satu sumber.

Setakat ini pihak berkuasa masih belum mengumumkan identiti juruterbang berkenaan kerana nasibnya belum dapat dipastikan.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan