28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Pak Lah Badawi selesai tunai umrah – Nordin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan selamat menjalani ibadah umrah di Mekah, Arab Saudi.

Berita itu dimaklumkan oleh Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dr Nordin Kardi menerusi Facebook beliau malam tadi.

“Pak Lah selamat menunaikan umrah,” katanya beserta beberapa keping gambar menunjukkan Abdullah,83, yang mesra dipanggil Pak Lah sedang bertahlul menandakan selesai menjalani ibadah tersebut.

Turut kelihatan isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah.

Pada September tahun lalu, menantunya, Khairy Jamaluddin memaklumkan bekas Perdana Menteri itu menghidap demensia sehingga beliau tidak mengingati namanya sendiri, isteri serta ahli keluarganya.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak pada 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

“Ramai orang tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum. Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya.

Khairy membuat pendedahan kali pertama itu selepas mendapat persetujuan ahli keluarga pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Kuala Lumpur pada 11 September tahun lalu.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelima pada 31 Oktober 2003 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatan tersebut.

Bagaimanapun beliau hanya mentadbir negara selama satu penggal dan menyerahkan pucuk pimpinan negara dan parti kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan