PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi membincangkan pelbagai isu serantau termasuk kesan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap ASEAN.
Menurut Perdana Menteri, kunjungan silaturrahim sahabat lamanya itu dalam suasana lebaran yang penuh keberkatan.
“Kami berbincang mengenai isu-isu serantau yang penting, termasuk dampak tarif baharu yang diterapkan AS terhadap negara-negara ASEAN.
“Selain menyentuh usaha dan tindakan bersama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Myanmar yang terkesan akibat bencana gempa baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook beliau malam tadi.
Anwar berharap semangat Aidilfitri terus memperkuat hubungan persaudaraan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia atas nama keamanan dan kesejahteraan serantau.
Di bawah tarif timbal balik itu, 24 peratus dikenakan ke atas import dari Malaysia manakala Indonesia pula dikenakan sebanyak 32 peratus.
Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus. – Edisi 9

