UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Assalam Smart School Association (ASSA) Thailand dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu akan membuka peluang dalam pelbagai aspek termasuk promosi dan pembangunan disiplin akademik, program pertukaran pelajar, program mobiliti serta penyelidikan dan penerbitan.
Menurutnya, UPSI dan ASSA telah menjalankan beberapa program berimpak tinggi sebelum ini, antaranya Program Consultation Service of Ulul Albab di Universiti Fatoni pada Oktober 2022, eksplorasi akademik dan budaya di Sekolah Phatna Witya Yala pada Januari 2023, serta kunjungan ilmiah dan pentadbiran ke rangkaian sekolah ASSA di Yala pada Februari 2023.
“Melalui perjanjian ini, kami bukan sahaja ingin mengukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Thailand, tetapi juga memastikan generasi muda mendapat pendidikan berkualiti serta pendedahan kepada kaedah pembelajaran terbaik,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Md Amin berkata, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik tetapi juga berperanan dalam pembangunan modal insan bagi generasi muda.
“Perjanjian ini juga diharap dapat memperkukuh perkongsian kepakaran dalam aspek pengurusan waqaf dan endowmen pendidikan serta model pengurusan institusi pengajian dari peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi.
“Dengan termeterainya MoU ini, kami berharap lebih ramai pelajar dari ASSA akan melanjutkan pengajian mereka di UPSI, sekali gus memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Thailand,” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden ASSA, Dr. Abdullah Yeeloh yakin kerjasama ini akan memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan di Thailand dan Malaysia.
“Universiti Fatoni amat menghargai kerjasama erat yang telah terjalin dengan UPSI sejak beberapa tahun lalu.
“MoU ini adalah satu langkah penting dalam memastikan pertukaran ilmu dan pengalaman antara tenaga akademik serta pelajar terus berkembang,
“Kami yakin MoU ini hanya permulaan kepada kerjasama lebih besar yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, usaha ini juga akan membantu memperkasapendidikan Islam dan memantapkan pembangunan akademikdi rantau ini.
“Kami melihat bahawa jalinan kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat dalam aspek akademik tetapi juga dalam bentuk generasi pemimpin masa depan yang lebih berkualiti, berminda global, dan berdaya saing,” katanya. – Oleh BAZLI RAZAK

