CABARAN Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Seluruh England berakhir apabila perjalanan dua beregu negara tersekat di peringkat suku akhir di Utilita Arena Birmingham, sebentar tadi.
Kecederaan buku lali yang dialami Pearly Tan ketika beraksi di pusingan 16 semalam membataskan pergerakannya sehingga memaksa gandingannya, M. Thinaah bekerja lebih keras mengawal gelanggang.
Pun begitu, mereka masih lagi mampu memberi cabaran kepada lawannya yang juga naib juara edisi lalu, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang juga pilihan ketiga kejohanan.
Set pertama semuanya kelihatan lancar apabila kedua-dua beregu saling berkejaran mata, nama pada penghujung perlawanan Pearly kelihatan tidak dapat menahan kesakitan dan terpaksa akur dengan 17-21.
Memasuki set kedua, Pearly kelihatan terhincut-hincut dan tidak dapat bergerak pantas namun mereka masih lagi mampu memberi cabaran kepada Matsuyama-Shida.
Malahan Pearly-Thinaah hampir mencemaskan gandingan Jepun itu apabila mendahului 19-15 namun akhirnya berjaya disamakan sebelum tewas 19-21.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula terpaksa akur dengan kehebatan gandingan baharu dari China, Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping dengan kekalahan 21-18, 8-21, 10-21.
Mempamerkan pertahanan kental dan smash-smash kencang terutama oleh Zhen Bang, mematikan langkah pilihan pertama kejohanan itu terutama pada set kedua.
Dengan kekalahan kedua-dua gandingan tersebut maka berakhirlah cabaran Malaysia di kejohanan berprestij itu. – Edisi 9

