LIMA syarikat diumum sebagai syarikat pemula terbaik oleh Cradle Fund Sdn Bhd di bawah program MyStartup Pre-Accelerator Kohort Keempat yang berlangsung baru-baru ini.
Ketua Pegawai Elsekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, lima syarikat tersebut dipilih daripada 30 syarikat yang dipilih menyertai program itu, setelah lebih tiga bulan menjalani bimbingan intensif, latihan dan pembangunan perniagaan.
Beliau berkata, sebanyak 11 syarikat dipilih untuk membentangkan Produk Berdaya Maju Minimum (MVP) mereka kepada panel juri, mempamerkan penyelesaian inovatif merangkumi industri seperti fintech, teknologi kesihatan dan agritech.
“Syarikat pemula ini adalah antara 30 syarikat yang terpilih untuk program ini setelah melalui saringan ketat untuk memperbaiki model perniagaan dan strategi kemasukan pasaran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya, lima syarikat pemula dinobatkan sebagai pemenang terbaik, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM35,000 beserta sokongan tambahan dan akses kepada pelbagai faedah daripada MYStartup dan rakan korporat.
Lima startup terbaik adalah seperti berikut:
1. DashAdd: Papan pemuka berkuasa AI yang membantu perniagaan menjejak prestasi kewangan, meramal aliran tunai, dan mendapatkan pembiayaan untuk pertumbuhan yang lebih bijak.
2. IOXTECH Global: Merevolusikan pengurusan pembinaan dengan pemantauan masa nyata, laporan kemajuan yang lancar, dan penjejakan tenaga kerja yang cekap untuk menyiapkan projek tepat pada masa dan mengikut bajet.
3. Faradays Energy: Mencipta generasi baharu teknologi hijau untuk penghasilan hidrogen bersih, lebih banyak, dan kos rendah bagi menamatkan era bahan api fosil.
4. Nanofertech: Teknologi pelepasan terkawal berkuasa AI untuk pembajaan tepat dalam pertanian.
5. Vidanex: Merintis diagnosis kanser berasaskan AI dengan keputusan lebih cepat dan rawatan peribadi menggunakan pengimejan digital canggih.
Manakala para juri pula terdiri daripada Ketua Pembangunan Ekosistem Cradle, Zehan Teoh; Pengasas Oxwhite, CK Chang; Rakan Kongsu di First Move, Audra Pakalnyte; Ketua Pegawai Teknologi PitchIn dan penasihat serta pelabur.
Norman berkata, setiap syarikat pemula akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti tahap inovasi, potensi pasaran dan keupayaan pelaksanaan.
“Inovasi dan semangat keusahawanan yang ditunjukkan oleh peserta kohort ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap bakat yang ada di Malaysia.
Startup merupakan perintis yang melihat peluang di mana orang lain melihat halangan, dan diCradle, kami memahami peranan mereka dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia.”
“Kami komited untuk membina ekosistem startup yang berkembang pesat di mana ia mampu melengkapi pengasas dengan sumber penting untuk mengembangkan idea mereka seterusnya menjana impak global.
“Kejayaan startup ini adalah penting untuk masa depan Malaysia, daripada mencipta pekerjaan, menyelesaikan cabaran mendesak, dan meletakkan negara kita sebagai hab utama teknologi dan keusahawanan.
“Kami berbangga untuk menyokong pertumbuhan mereka dan tidak sabar untuk melihat apa yang akan mereka capai seterusnya,” katanya. – Edisi 9

