SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi pendidikan MARA (IPMA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bukan itu sahaja, malahan HRDC juga akan membiayai sepenuhnya para pelajar terbabit sepanjang menjalani latihan tersebut.
Beliau berkata, perkara itu disepakati hasil perbincangan strategik antara MARA dan HRDC yang diketuai oleh Ketua Pegawai Ekeskutifnya, Datuk Wira Shahul Hameed Shaik Dawood hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, para pelajar dari 344 IPMA terutama UniKL, UPTM, GMI, MJII, GiatMARA, IKM, KPM, KKTM, KPTM dan KM berpeluang menjalani latihan industri di syarikat-syarikat terbabit.
“Bukan itu sahaja latihan-latihan dan program akademik terutamanya lebih 2,000 bidang TVET yang disediakan oleh IPMA akan dimantapkan dengan modul, kepakaran dan teknologi terkini daripada pihak industri bagi memastikan graduan-graduan IPMA akan lebih berdaya saing dengan tahap kemahiran seiring dengan keperluan industri.
“Insya-Allah satu perjanjian kerjasama akan ditanda-tangani dalam masa terdekat. Ini merupakan satu ‘game changer’ penting untuk agenda pemerkasaan anak bangsa,”katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebelum itu, Asyraf Wajdi menerima kunjungan Shahul Hameed dan rombongan dari HRDC di pejabatnya di Kuala Lumpur. – Edisi 9

