Tuesday, June 16, 2026

Imigresen serbu kilang kitar semula, 49 warga asing ditahan

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik dan menahan 50 warga tempatan dan asing atas pelbagai kesalahan, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari ibu pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Selangor di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang kira-kira 2.51 petang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hasil serbuan tersebut pihaknya menahan seorang perempuan tempatan yang disyaki sebagai penjaga premis, 23 lelaki warganegara Bangladesh, 17 lelaki Myanmar dan masing-masing seorang lelaki Nepal dan China.

Beliau berkata, turut ditahan lima wanita Myanmar, seorang wanita Vietnam dan seorang wanita warganegara China yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun, menjadikan jumlah tangkapan seramai 50 orang.

“Hasil semakan awal mendapati, enam lelaki warganegara Bangladesh telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki dan bekerja di lokasi serbuan, dua lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, pihaknya turut merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga naskhah pasport Myanmar, dua unit telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900.

Kilang barangan kitar semula peralatan elektronik yang diserbu Imigresen. – Foto JIM

Beliau berkata, modus operandi kilang tersebut adalah memproses barangan lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar bagi mendapatkan tembaga dan aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

“Barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara.

“Kilang ini juga disyaki menggajikan warganegara asing dan menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut serta telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

Semasa serbuan dilakukan, terdapat warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas sehingga menyukarkan pihaknya melakukan pemeriksaan namun berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.

Katanya, kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siastan lanjut.

Manakala seorang perempuan warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Kilang ini juga dipercayai telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Seorang lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki warganegara China diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan