MAJLIS Kerja Tertinggi UMNO (MKT) UMNO hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam ke atas bekas Perdana Menteri dan pejuang pembebasan Palestin Dr Ismail Haniyeh di Tehran.
Parti itu berkata, pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha genjatan senjata demi keamanan di Gaza ini, membuktikan kebaculan dan kegilaan Zionis Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO bertekad untuk terus mendokong perjuangan pembebasan Palestin.
Katanya, parti itu juga akan sentiasa bersama dengan para pejuangan dalam kalangan Hamas, Fatah dan seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas dan dirampas hak mereka oleh Zionis Israel.
“UMNO melalui wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia akan terus memperjuangkan hak dan menuntut keadilan di pentas antarabangsa agar kekejaman dan sifat kebinatangan Israel dihukum sekeras-kerasnya oleh masyarakat dunia dan negara-negara yang ikhlas cintakan keamanan dan keadilan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kenyataan itu dibuat dalam Mesyurat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam ini.
Ismael Haniyeh disahkan terbunuh dalam serangan di penginapannya di Tehran, Iran ketika berada di negara itu untuk menghadiri majlis mengangkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, seluruh MKT UMNO diarah berkampung dan menyelaras gerak-kerja jentera parti dan Barisan Nasional (BN) di setiap Pusat Daerah Mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan.
Dalam PRK tersebut, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipertaruhkan oleh BN untuk merampas kerusi DUN tersebut.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa UMNO mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti-rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta terharap wakil rakyatnya yang meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.
Beliau berkata, tindakan tersebut adalah seiring dengan perjanjian yang dimeterai oleh wakil-wakil rakyat berkenaan semasa menerima pencalonan mereka dalam pilihan raya umum atau negeri yang lalu.
Sebelum ini ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis telah meninggalkan UMNO dan menyertai Pas sejak Jun 2023 lalu.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Ekoran itu Jailani didakwa telah melanggar Perjanjian Perwakilan BN yang dibuat semasa dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 lalu. – Edisi 9

