Thursday, June 4, 2026

Asyraf dedah bukti Jailani langgar SD, perlembagaan UMNO

Bakal berdepan tuntutan sebanyak RM100 juta dan pengosongan kerusi DUN Rembia

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mendedahkan bukti bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis telah melanggar akuan bersumpah (SD) dan perlembagaan parti.

Menerusi rakaman video yang dikeluarkan hari ini, Asyraf Wajdi menunjukkan SD yang ditandatangani sendiri oleh Jailani dalam Perjanjian Perwakilan Barisan Nasional (BN) yang dibuat semasa dipilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 lalu.

Menurut beliau, berdasarkan perjanjian tersebut semua calon BN yang bertanding dalam PRN itu perlu meletakkan jawatan sebagai ahli parti dan mengosongkan kerusi yang dimenangi sekiranya mereka bertukar parti atau menukar haluan daripada menyokong BN dan parti komponennya.

Beliau berkata, pada masa yang sama calon-calon berkenaan dikehendaki membayar balik sebanyak RM100 juta kepada BN jika mereka menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

“Ini ada kesannya kerana kita ada kes Zuraidah (Kamarudin) yang melompat daripada PKR yang mana mahkamah putuskan Zuraida perlu membayar balik sebanyak RM10 juta.

“Tapi dalam kontrak Barisan Nasional, bukan RM10 juta tetapi RM100 juta,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatkan dalam media sosialnya hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kemasukan Jailani yang sebelum ini digantung keahlian UMNO, ke dalam parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Jailani pada 10 Jun 2023.

Katanya, tindakan Jailani tidak melanggar Akta Antilompat Parti kerana dia menyertai Pas sebelum undang-undang tersebut diluluskan oleh DUN Melaka pada 31 Julai 2023.

Asyraf Wajdi berkata, Jailani juga telah melanggar perlembagaan UMNO yang sudah dipinda sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu fasal 20.8 serta fasal 20.11.

Katanya, di bawah fasal 20.8 dijelaskan mana-mana ahli yang menjadi ahli berdaftar parti politik lain, maka keahliannya gugur setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi.

Fasal 20.11 pula menyebut seseorang ahli UMNO akan tergugur keahliannya secara automatik sekiranya ahli UMNO itu telah dipilih sebagai Ahli Parlimen atau ADUN, kemudian menyertai pakatan politik yang tidak dianggota oleh UMNO, atau memilih menjadi wakil rakyat bebas.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berharap Jailani dapat bersiap sedia untuk menghadapi tuntutan tersebut dan “bertemu di mahkamah.” – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan