JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat jenazah ghaib ke atas pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di tiga masjid utama jabatan itu malam ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, solat jenazah ghaib itu akan diadakan selepas solat Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.
Beliau berkata, JAKIM amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah terbunuh dalam serangan ke atas penginapannya di Tehran, Iran semalam.
“Allahyarham adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, JAKIM menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib itu sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel. – Edisi 9

