Thursday, June 4, 2026

Anwar bimbang nasib rakyat Palestin susulan pembunuhan Ismail

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang tentang nasib rakyat Palestin susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran semalam.

Perdana Menteri yang menyifatkan pembunuhan itu sebagai tragik dan kejam jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.

Beliau berkata, pembunuhan besar-besaran itu hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum.

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.

“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Tehran, Iran ketika berada di negara itu untuk menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Susulan itu, Hamas mengumumkan berkabung atas kematian Ismail.

Anwar berkata, mereka yang telah mengkritik beliau saat bertemu dengan Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam Allhyarham untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Media & Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengecam tindakan pihak Meta menurunkan hantaran di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan Ismail di Doha, Qatar pada bulan Mei lalu.

Menurut kenyataan PMO, tindakan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara tersebut.

“Sehubungan itu, pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” katanya dalam kenyataan berasingan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan