MALAYSIA dan Filipina bercadang meningkatkan hubungan dua hala dalam khususnya dalam perdagangan pertanian, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut beliau, kedua-dua pihak jugak bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama teknikal dalam subsektor pertanian, ternakan dan perikanan.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, Malaysia bersedia untuk menandatangani surat hasrat atau Letter of Intent (LOI) dengan Filipina bagi meningkatkan kerjasama dalam teknikal dan perdagangan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di ibu negara, semalam.
Sebelum itu, Angela memaklumkan, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor
pertanian Filipina di ASEAN.
Katanya, beliau telah diberi tanggungjawab oleh kerajaan Filipina untuk mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dengan Malaysia.
Katanya, data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Filipina sebanyak RM5.41 bilion.
Ini berbanding nilai import dari Filipina ke Malaysia sebanyak RM1.28 bilion seterusnya menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara. – Edisi 9

