Monday, June 15, 2026

UMPSA teroka kerjasama industri nanas dengan LPNM

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka bidang industri nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan termeterainya Memorandum Perserfahaman (MoU) hari ini berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan teknologi dalam industri nanas di Malaysia.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh menandatangani MoU dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah LPNM, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, di Dewan Bankuet UMPSA Pekan.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yuserrie, kerjasama tersebut bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dan UMPSA sentiasa komited membina kerjasama bermakna bersama pihak agensi dalam usaha melahirkan penyelidik dan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini.

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua pihak itu mula terjalin melalui projek Geran Program Pemindahan Ilmu di bawah program pendanaan Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2017.

Katanya, geran tersebut berkenaan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di ladang nanas oleh sekumpulan penyelidik dari program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang kini berada di Fakulti Sains & Teknologi Industri.

Malahan kesinambungan daripada itu, beberapa penyelidik UMPSA telah berkerjasama dengan pihak LPNM Negeri Pahang dalam pelbagai inovasi dan penyelidikan berkaitan sisa nanas dan teknologi penanaman nanas.

Ini termasuk inovasi cendawan nanas oleh Profesor Madya Dr Aizi Nor Mazila Ramli, baja organik prebiotik Prepecto oleh Dr Noormazlinah Ahmad dan dron pembajaan oleh Ts Joharial Johari, Pusat TVET Termaju.

Selain itu, Yuserrie berkata, beberapa penyelidik lain juga turut terlibat membantu inisiatif LPNM dalam projek ‘Pineapple Night Farming’ dengan penggunaan kuasa solar dan teknologi Internet of Things (IoT).

“UMPSA sangat komited dan berharap dapat membantu LPNM dengan kepakaran dari kalangan penyelidik di UMPSA.

“Terdapat seramai 22 penyelidik terlibat dengan penyelidikan berkaitan dengan nanas dan memperoleh dana penyelidikan sama ada di peringkat universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi atau industri yang mana keseluruhan penyelidikan tersebut bernilai RM 2,043,005 sejak tahun 2015,” katanya dalam majlis tersebut hari ini.

Yusserri berkata, pihaknya berharap hasil penyelidikan nanti dapat membantu perindustrian nanas negara sesuai dengan salah satu fungsi LPNM yang menyokong penyelidikan berkaitan industri nanas.

Ini sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara dengan penghasilan buah nanas berkualiti tinggi bagi pasaran eksport serta produk hiliran yang dapat membantu komuniti setempat serta usahawan-usahawan tempatan.

“Kerjasama ini juga diharapkan dapat membuka ruang lebih luas kepada UMPSA melalui Pusat Penyelidikan Bioaromatik dalam mengkoordinasi kerjasama bersama LPNM dan rakan strategik serta usahawan-usahawan di bawah bimbingan LPNM.

“Ini bagi memanfaatkan kedua-dua pihak dalam bidang latihan, penyelidikan dan inovasi, penulisan, penerbitan, konsultasi dan kumpulan pemikir mengenai teknologi penanaman nanas, hasil sisa nanas dan produk inovasi lain,”katanya.

Sementara itu, Sheikh ‘Umar Bagharib berkata, kerjasama tersebut membuka peluang besar untuk pengembangan ilmu dan kemahiran dalam bidang penyelidikan dan teknologi pertanian.

Katanya, melalui kerjasama ini, terdapat pendedahan yang luas dalam pelbagai aspek seperti Internet of Things (IoT), Revolusi Perindustrian 4.0, dan teknologi terkini yang berkaitan dengan pertanian.

“MoU pada hari ini juga merupakan satu langkah penting dalam merealisasikan Program Kebitaraan, yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan industri nanas melalui kerjasama dengan institusi pendidikan seperti UMPSA.

“Ini adalah selaras dengan hasrat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi pertanian, khususnya dalam industri nanas”, ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan