Tuesday, June 16, 2026

Anwar jemput Presiden China ke Malaysia tahun depan

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjemput Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Qiang, untuk mengadakan lawatan negara dan lawatan rasmi tahun depan ke Malaysia, sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara berkenaan pada tahun depan, pelbagai aktiviti sedang dirancang bersama untuk dilaksanakan di Malaysia dan China.

“Tahun ini pula, adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan untuk tahun 2023, 12 pertukaran lawatan tertinggi dari Malaysia ke China dan enam pertukaran lawatan tertinggi dari China ke Malaysia, telah diadakan setakat ini.

“Saya telah mengadakan lawatan ke China buat kali kedua pada tahun ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sempena lawatan kerja beliau di Nanning untuk menghadiri China-ASEAN Expo (Caexpo) ke-20.

Anwar melawat China buat pertama kali pada Mac tahun ini, di mana beliau mengadakan lawatan kerja di Beijing dan Hainan, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lalu.

Perdana Menteri menyifatkan hubungan Malaysia dengan China istimewa dan bersejarah, kerana ia berdasarkan prinsip saling hormat menghormati dan kesaksamaan.

Anwar berkata, sempena lawatannya ke China kali ini beliau dan Li Qiang membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Katanya, kedua-dua pihak menyambut baik perkembangan kerjasama di bawah projek Belt and Road Initiative (BRI) seperti Two Countries, Twin Parks, iaitu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Selain itu, cadangan penaiktarafan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang melibatkan penerokaan kerjasama susulan antara DRB Hicom dan Geely, khususnya dalam bidang kenderaan elektronik dan bidang berteknologi tinggi.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan kerjasama dalam bidang penyelidikan antara universiti di Malaysia dan China.

“Malaysia dan China juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian seperti minyak sawit, getah, biodiesel, durian, keterjaminan makanan dan akses kemasukan produk pertanian Malaysia ke pasaran China,” katanya.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pembangunan vaksin, penyelidikan dan pembangunan serta pusat pembuatan, selain mengalu-alukan kerjasama lebih banyak dalam kalangan syarikat berteknologi tinggi dan pendigitalan ekonomi.

Anwar berkata, dalam aspek kesambungan, kedua-kedua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan serta meningkatkan kadar frekuensi penerbangan di antara Malaysia dan China. -Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan