31.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

3 perjanjian Malaysia-China babit hampir RM20 bilion

Mesti Baca

SEBANYAK tiga perjanjian perniagaan antara syarikat-syarikat Malaysia dan China yang berjumlah hampir RM20 bilion ditandatangani sempena lawatan singkat Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China hari ini.

Menurut Perdana Menteri, perjanjian pertama melibatkan Citaglobal Berhad dan Shanghai SUS Environment CO. Ltd. bagi pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, projek tersebut yang bernilai RM15 bilion meliputi pembinaan loji janakuasa yang mengguna pakai teknologi waste to energy.

Anwar berkata, turut dimeterai antara PM Access World (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Beibu Gulf Port Group bagi mempromosi pengangkutan barang pukal dan meneroka penubuhan pangkalan produk mineral di Pelabuhan Kuantan dengan jangkaan nilai pelaburan sebanyak RM2.34 billion.

Selain itu, kata beliau, perjanjian persefahaman (MoU) antara Sime Darby Oils International Limited dan Guangxi Beibu Gulf International Port Group juga dilaksanakan.

Katanya, perjanjian tersebut bagi mewujudkan kerjasama dalam pembinaan pusat perdagangan dan pengedaran untuk minyak sawit ditapis di Qinzhou, China dengan anggaran eksport sebanyak RM2.5 billion.

“Intiha, saya sempat bertemu Duta Republik Rakyat China (RRC) ke Malaysia Ouyang Yujing yang turut menerangkan serba ringkas mengenai MoU yang ditandatangani hari ini,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Anwar tiba di Nanning, China lewat malam tadi untuk menghadiri majlis perasmian Pavilion Malaysia pada Ekspo China-ASEAN Ke-20 (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Periagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS).

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Advertisements

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam sidang media sebelum berangkat pulang ke tanah air, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan China atas layanan yang sangat baik kepada beliau dan delegasi, walaupun ia hanya berlangsung kurang daripada 13 jam.

“Nescaya, lawatan ini telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada hatta mengukuhkan langkah-langkah konkrit ke arah mengembangkan dan mengukuhkan kerjasama Malaysia-China yang sangat bersejarah ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan lawatan ini. Sampai jumpa lagi China!,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat pegawai-pegawai kanan daripada dua buah syarikat gergasi China iaitu China Communications Construction Group (CCCC) dan Huawei Technologies Co. Ltd. (Huawei).

Rombongan CCCC diketuai oleh Pengerusinya, Wang Tongzhou manakala dalam sesi berikutnya pula, rombongan Huawei diketuai oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Penyeliaannya, Li jie.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat memaklumkan keyakinan mereka ke atas kedudukan semasa ekonomi negara dan arah tuju yang ingin dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.

“Justeru, mereka berhasrat untuk terus berada di Malaysia dan komited menyokong projek-projek mega yang direncana kerajaan.

“Komitmen ini khususnya melibatkan projek-projek infrastruktur jaringan pengangkutan darat, pembangunan ekonomi digital dan sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Anwar berkata, dengan kepakaran dan penguasaan teknologi yang mereka miliki, beliau menyentuh mengenai penglibatan syarikat tempatan, perpindahan ilmu dan pengwujudan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan