KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mempertahankan cadangannya supaya menghadkan jualan beras tempatan kepada rakyat negara ini sahaja.
Muhamad Akmal berkata, ketika ini bekalan beras tempatan berkurangan jadi seharusnya keutamaan perlu diberikan pada warganegara sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tidak timbul soal diskriminasi kerana apa yang penting dan perlu diutamakan adalah kebajikan rakyat.
“Betul pekerja asing pun bukan kaya raya tetapi berbanding dengan komitmen mereka dengan rakyat Malaysia memang jauh berbeza.
“Mereka tinggal rumah sewa beramai-ramai, makan pun secara berjemaah, tidak perlu untuk membayar pinjaman kereta dan rumah, anak sekolah dan lain-lain lagi,” katanya menerusi catatan di Facebook malam tadi.
Terdahulu, Muhamad Akmal mencadangkan kerajaan melaksanakan polisi mengutamakan penjualan beras tempatan kepada warganegara bagi menangani krisis bekalan makanan ruji itu sekali gus menstabilkan krisis bekalan beras yang meruncing ketika ini.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapatkan kecaman beberapa pihak termasuk Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin yang melihat itu bukan jalan penyelesaian.
Kata beliau, ia akan merumitkan operasi dan menambah beban kerja bagi pekerja di pasar raya dan kedai runcit yang perlu menyemak setiap kali pembelian dibuat.
Sementara itu, Muhamad Akmal berkata, tiada isu beras tempatan dijual kepada warga asing jika bekalan di pasaran mencukupi namun apa yang berlaku kini adalah sebaliknya.
“Jika beras tempatan banyak di pasaran tiada masalah tetapi hari ni hendak beli pun susah malah kita terpaksa berebut dengan mereka pula.
“Tauke besar hanya memikirkan keuntungan dan yang paling penting barang mereka habis dijual kepada sesiapa sahaja tetapi pemimpin memikirkan masalah sebenar rakyat di bawah.
“Bukan satu penyelesaian yang panjang tetapi sekurangnya boleh mengurangkan bebanan awal ketika krisis ini berlaku,” jelasnya. – Edisi 9