SAYA tertarik untuk menulis tentang dua istilah iaitu katarsis dan katarak dalam tulisan kali ini.
Ada apa pada kedua istilah ini yang menarik saya untuk menulis mengenainya.
Katarsis adalah proses pelepasan emosi atau keluh kesah yang tersimpan di dalam batin.
Dalam ilmu psikologi, katarsis juga dimaknai sebagai cara untuk melampiaskan emosi secara positif agar seseorang merasa lebih lega dan boleh menjalani aktiviti sehari-hari dengan perasaan yang lebih baik.
Manakala katarak pula, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia ialah suatu keadaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh.
Ini boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran.
Terjadinya katarak ialah akibat daripada proses penuaan, kecederaan mata, penyakit-penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah ubat.
Katarak adalah punca utama kebutaan yang boleh dipulihkan.
Ramai kalangan kita yang melepaskan apa yang terbuku di hati melalui media sosial seperti Tiktok, Whatsapp, Facebbook, Instagram, dan Telegram.
Apakah ini dapat disebut sebagai katarsis? Apakah mereka merasa lega hatinya selepas mencurahkan segala apa yang tersimpul dalam hati?
Malah ramai juga yang sengaja menyebarkan fitnah (ucapan atau tulisan tanpa bukti).
Apa yang dikhuatirkan ialah mereka yang berbuat demikian mempunyai katarak dalam niat, ilmu dan tujuan.
Penglihatan mereka hanya dipandukan oleh ketaksuban kepada sesuatu pihak sehingga mengalami katarak kebenaran.
Di satu pihak mereka melampiaskan apa yang terbuku dalam hati sebagai satu bentuk katarsis, tetapi pada sudut yang lain mereka mengalami katarak yang agak tebal kerana tidak dapat melihat kebenaran.
Semoga kita tetap jelas dengan segala tindakan kita agar mendapat katarsis positif yang sebenarnya dan tidak mengalami katarak terhadap hak dan kebenaran supaya negara kita tetap maju baik secara ekonomi, sosial dan keharmonian masyarakat.
Penulis adalah bekas Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan seorang yang aktif dalam penulisan.