JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan usaha membentuk skuad pelapis berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan utama apabila merekrut pemain muda Orang Asli, Saad Baharom, 12, ke akademi.
Menerusi perkongsian pemilik akaun Facebook bernama Muhammad Waqari, bakat anak Felda Aring 5, Gua Musang Kelantan itu dikesan Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa.
Kelincahan pemain tersebut dipemerkan ketika menjadi kapten skuad bawah 12 tahun Kelantan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun lalu.
Difahamkan, Saad juga telah dipilih semasa Hari Pencarian dan Pemantauan Bakat Baharu bagi skuad bawah 12 tahun (B-12) dan bawah 16 tahun (B-16) yang diadakan JDT, Februari lalu.
Perpindahan ke JDT pastinya memberikan peluang besar kepada pemain muda itu bagi mendapatkan latihan yang lebih baik di akademi bertaraf dunia yang dimiliki Juara Liga Super itu.
Di samping itu, dalam aspek pendidikan juga akan turut diberi jaminan selain daripada kebajikan setiap pemain yang direkrut kelab.
JDT sebelum ini mencipta kejutan apabila menyambar pemain muda berusia 13 tahun, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi dari Terengganu selepas video aksinya bermain dengan lawan yang jauh lebih tua tular.
Selain itu, kelab Harimau Selatan itu turut memancing dua pemain muda cilik, Mohamad Hakimi dan Wawan.
Untuk rekod, beberapa pemain akademi JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah dan Feroz Baharudin berjaya menempatkan diri dalam skuad utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Edisi 9