SEBUAH bot fiber ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing pada kedudukan 0.23 batu nautika barat laut Pulau Tengah pukul 6.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu semasa rondaan rutin Op Jaksa dan Op Tiris di perairan tersebut.
“Pemeriksaan awal mendapati, bot fiber itu dikendalikan dua kru termasuk tekong warga Vietnam masing-masing berumur 35 dan 36 tahun di mana kedua-duanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat peralatan menyelam di atas bot disyaki digunakan untuk aktiviti penangkapan gamat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Suhaizan berkata, kru bersama tekong serta bot dan peralatan menyelam ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan perikanan yang tidak dilesenkan.
Ujarnya, kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” katanya. – Edisi 9

