PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei menyifatkan kejayaan mara ke separuh akhir pada badminton Jelajah Dunia Akhir BWF sebagai penutup musim yang bermakna meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini.
Menurut Ee Wei, musim 2025 merupakan antara tempoh paling mencabar dalam kariernya kerana bukan sahaja menguji tahap fizikal, malah kekuatan mental dan emosi sebagai atlet profesional.
“Tahun ini tidak mudah. Ia benar-benar menguji tubuh, minda dan hati saya. Ada saat-saat sukar, keraguan dan keletihan, tetapi setiap cabaran itu mengajar saya bagaimana untuk bangkit dan menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.
Dalam kejohanan Hangzhou, China itu, dia yang bergandingan dengan Chen Tang Jie disekat pasangan tuan rumah Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-9, 11-21, 17-21.
Bagaimanapun, pencapaian paling manis tahun ini apabila pasangan beregu campuran utama negara itu menjuarai Kejohanan Dunia, Ogos lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih, rakan gandingan, keluarga serta pasukan sokongan yang sentiasa berada di belakangnya tanpa berputus asa.
“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, pasangan saya, keluarga dan seluruh pasukan sokongan kerana tidak pernah berhenti percaya.
“Sokongan peminat juga menjadi sumber kekuatan kami untuk terus bertahan dalam setiap naik turun,” ujarnya.
Ee Wei turut menghargai kepercayaan yang diberikan oleh para penaja sepanjang perjalanan kariernya dan menganggap sokongan tersebut sebagai elemen penting dalam memastikan fokus dan prestasi kekal konsisten di peringkat tertinggi.
“Paling penting, saya bersyukur dapat menamatkan musim ini dalam keadaan sihat, dengan kaki masih berpijak di bumi nyata dan semangat yang masih membara. Saya akan terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik setiap hari,” katanya.
Sebagai persiapan menghadapi musim baharu, Ee Wei mengakui fokus kini beralih kepada Terbuka Malaysia 2026, yang bakal menjadi kejohanan pembuka tirai tahun depan di laman sendiri.
“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada halaman baharu. Jumpa anda semua di Terbuka Malaysia tahun depan,” katanya penuh azam. — Edisi 9

