Thursday, June 4, 2026

Hantaran palsu 3R: MCMC rakam keterangan tiga lagi individu

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga lagi individu berhubung hantaran palsu berunsur perkauman menerusi media sosial mereka berkaitan insiden seorang wanita menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.

Menurut MCMC, hantaran tersebut yang mendakwa kononnya tindakan dilakukan oleh seorang wanita berbangsa Cina adalah tidak benar, selain berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan persepsi negatif dalam kalangan
masyarakat.

Katanya, rakaman keterangan ke atas ketiga-tiga individu berkenaan telah dijalankan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang semalam.

“Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

Sebelum ini, MCMC turut merakam keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri kerana membuat hantaran palsu berbaur perkauman dalam media sosialnya berhubung insiden tersebut.

Mohd Hafez yang juga Ketua Pemuda Pas Perak membuat hantaran dengan mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina, namun disahkan tidak benar oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sebelum ini media melaporkan, polis menyiasat satu insiden membabitkan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, 31 Ogos lalu.

Kejadian jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan