Thursday, June 4, 2026

TDA laksana lebih 86 kontrak prestasi bernilai RM7 bilion

Kaedah PBC yang mula diperkenalkan pada Julai 2022 kini membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti perbelanjaan kerajaan.

Mesti Baca

TECHNOLOGY Depository Agency Bhd (TDA), agensi di bawah Kementerian Kewangan, terus mencatat pencapaian besar apabila berjaya melaksanakan lebih 86 kontrak berasaskan pencapaian prestasi (PBC) di pelbagai agensi kerajaan dengan nilai melebihi RM7 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari berkata, kaedah PBC yang mula diperkenalkan pada Julai 2022 kini membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti perbelanjaan kerajaan.

“Ini menunjukkan sejauh mana kita telah berjaya dalam mengubah kontrak kerajaan daripada berasaskan proses kepada berasaskan prestasi. 

“Dengan menerima PBC, agensi-agensi menunjukkan komitmen mereka untuk memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberikan nilai kepada rakyat,” katanya pada Bengkel Amalan PBC di Malaysia 2025 di Cyberjaya hari ini.

Antara kementerian dan agensi yang telah melaksanakan kontrak tersebut termasuklah Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Dalam Negeri.

PBC merupakan kaedah kontrak yang menghubungkan pembayaran terus kepada pencapaian hasil yang dipersetujui, sekali gus memastikan kontraktor tidak hanya memenuhi syarat asas tetapi juga menyerahkan perkhidmatan dengan tahap keberkesanan yang ditetapkan.

Menurut Sharoul, pendekatan ini telah lama diamalkan di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia, dan kini Malaysia turut berada di landasan yang sama dalam meningkatkan piawaian perolehan berasaskan prestasi.

Bengkel berkenaan turut membuka ruang perkongsian pengalaman, mengenal pasti cabaran serta penambahbaikan dasar masa hadapan, dengan TDA berperanan sebagai pusat rujukan PBC bagi semua agensi kerajaan.

Dengan kejayaan tersebut, TDA yakin fasa seterusnya akan terus mengukuhkan budaya kontrak berasaskan prestasi di lebih banyak sektor, selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan perbelanjaan kerajaan. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan